Student Affairs and Alumni Division

PALAPES

PALAPES ialah singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Reserve Officer Training Unit atau ROTU). Pasukan ini ditubuhkan sebagai sebuah pusat untuk melatih pegawai dari kalangan pelajar. Penubuhannya adalah merupakan salah satu program negara melalui Kementerian Pertahanan. PALAPES berperanan untuk melatih bakal- bakal pegawai dari IPTA tentang aspek ilmu dan kemahiran ketenteraan. Program latihan PALAPES akan melayakkan pelajar IPTA ditauliahkan sebagai Pegawai Bertauliah oleh Seri

Paduka Baginda Yang Di- Pertuan Agong dan pegawai tersebut layak untuk memimpin sebuah platun.

PALAPES juga adalah perintis jalan untuk mewujudkan satu barisan Pegawai Simpanan yang sentiasa bersedia untuk digemblengkan bagi menyahut seruan negara apabila diperlukan. Ia juga merupakan program usahasama di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan IPTA bagi menguatkan benteng pertahanan dan ketahanan negara dari segala ancaman.

Klinik UNIMAS juga mnyediakan perkhidmatan kenderaan untuk menghantar dan mengambil pelajar & staf ke Hospital kerajaan, Poliklinik atau Pusat Kesihatan berhampiran sama ada melalui temujanji atau kecemasan


Apakah Asas Penubuhan PALAPES?

1. Kesedaran dan kepercayaan bahawa kesemua IPTA dalam negara ini mempunyai potensi besar sumber tenaga manusia yang berkelulusan akademik tinggi dan boleh memberi sumbangan besar terhadap keperluan pertahanan negara.
2. Kepercayaan bahawa berasaskan kelulusan akademik yang ada pada mereka, mahasiswa-mahasiswi ini boleh dijadikan Pegawai Simpanan yang dinamik dan berdedikasi jika diberi bimbingan serta latihan ketenteraan yang sesuai.
3. Program latihan yang diberikan kepada pelajar selain daripada melengkapkan diri mereka sebagai Pegawai Simpanan tentera juga membantu IPTA dan negara dalam membentuk warganegara yang mempunyai sahsiah yang sempurna, berdisiplin dan ciri-ciri ketahanan nasional yang unggul.

Wawasan

“PALAPES UNIMAS sebagai pusat latihan yang berkemampuan tinggi untuk menyumbang ke arah peningkatan disiplin, keupayaan, dayasaing dan keperwiraan individu dalam menghadapi cabaran abad ke 21 melalui sistem latihan yang berkualiti dan inovatif demi memantapkan pertahanan negara”.

Misi

“Menyediakan program dan kemudahan latihan yang berkualiti tinggi dan berteraskan teknologi ter-kini ke arah memperting-katkan keupayaan Pegawai Sukarela dalam memper-tahankan negara”.

Objektif

  • Membentuk kumpulan Pegawai Sukarela yang terlatih dan berkualiti.
  • Menawarkan satu program dan kemudahan latihan yang menarik dan efektif berdasarkan kepada Rancangan Pengurusan Latihan (RPL).
  • Menyediakan program dan aktiviti yang sesuai bagi mempertingkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan Pegawai Kadet PALAPES UNIMAS.
  • Memperlengkapkan pegawai dan jurulatih dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan terkini.
  • Melaksanakan sistem pengurusan yang cekap dan efisyen.
  • Mengekal, mempertahan dan meningkatkan keutuhan PALAPES UNIMAS dan warganya.
  • Mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber ke arah pencapaian wawasan dan misi PALAPES UNIMAS.
  • Mengadakan kegiatan-kegiatan yang dapat memberikan sumbangan yang berfaedah kepada universiti dan komuniti

Apakah Kursus-Kursus Akademik dan Latihan Yang Ditawarkan oleh PALAPES UNIMAS?

PALAPES UNIMAS menawarkan sistem latihan Tentera Darat dan latihan Tentera Udara. Pelajar baru boleh memilih salah satu dari dua jenis sistem latihan tersebut, bergantung kepada minat masing-masing. Kursus-kursus pengajian bagi Pegawai Kadet PALAPES UNIMAS adalah seperti yang disenaraikan di bawah.

Oleh kerana ketiga-tiga kursus tersebut adalah wajib, Pegawai Kadet yang tidak dapat hadir perlu mengemukakan sebab yang bertulis atau dokumen-dokumen sokongan yang lain.

Silibus Latihan Pegawai Kadet dijalankan mengikut peringkat yang telah ditetapkan seperti berikut:

  • Tahun Pertama (Peringkat Junior) - Latihan Taktik Asas, Kawad, Senjata dan Ilmu Medan Perang.
  • Tahun Kedua (Peringkat Intermediate) - Latihan Baca Peta, Semboyan, Undang-Undang Tentera, Tugas Turus, Lanjutan Taktik dan Kepimpinan.
  • Tahun Ketiga (Peringkat Senior) - Pembinaan kemahiran sebagai pegawai muda yang mampu memimpin platun.

Ilmu dan Kemahiran Pelengkap

  • Kerohanian - Pegawai Kadet juga dikehendaki mengikuti kursus-kursus kerohanian termasuk:
    • Ilmu Keimanan
    • Ilmu Fiqh termasuk kaedah ibadat di medan perang, dan
    • Ilmu Kepemimpinan Tentera Islam berasaskan buku: Muhammad SAW as A Military Leader, dengan kerjasama pendidik Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
  • Soft skills - Pegawai Kadet juga diberi kursus soft skills yang berasaskan silibus Pusat Pemajuan Pelajar (PPP) UNIMAS dengan kerjasama serta khidmat bimbingan staf di pusat tersebut.
  • Bahasa Inggeris - Semasa latihan Pegawai Kadet digalakkan bertutur dalam bahasa Inggeris.
  • Ilmu Asas Keusahawanan - Ilmu ini sebagai pelengkap kepada dayasaing mereka di dalam bidang kerjaya.

Bilakah Latihan Dijalankan?

Latihan PALAPES telah dirangka dengan sistematik supaya ia tidak mengganggu pembelajaran pelajar semasa belajar di UNIMAS. Jadual latihan lengkap diedar kepada pegawai kadet untuk memudahkan mereka menyelaraskan aktiviti latihan dengan aktiviti akademik. Walau bagaimanapun, penglibatan akademik diutamakan.

  • Latihan Tempatan: Latihan ini dilaksanakan pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu kedua dan keempat setiap bulan. Latihan ini dilaksanakan di sekitar kawasan kampus dan Markas PALAPES UNIMAS. Pegawai Kadet akan melaksanakan latihan selama 240 jam dalam setahun.
  • Latihan Berterusan: Latihan ini dilaksanakan selama 72 jam atau lebih. Kebiasaannya dilaksanakan selama tujuh hari secara berterusan dan diadakan dua kali setahun. Latihan ini biasanya diadakan semasa cuti semester.
  • Kem Tahunan: Latihan ini diadakan setahun sekali selama 15 hari secara intensif dan berterusan. Pada kebiasaannya latihan ini dilaksanakan di luar markas. Latihan ini tertumpu kepada Peperangan Insurgensi dan Konvensional serta Pegawai Kadet berpeluang melawat unit-unit ATM, beriadah dan lain-lain.

Untuk melayakkan seseorang pelajar menyertai PALAPES, seseorang itu seharusnya memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Telah diterima sebagai pelajar prasiswazah sepenuh masa di UNIMAS.
  • Warganegara Malaysia.
  • Berumur di antara 18 hingga 25 tahun. .
  • Mempunyai tahap kesihatan yang baik.
  • Tinggi minimum 162 cm bagi lelaki dan 157 cm bagi wanita.
  • Berat minimum badan 50 kg bagi lelaki dan 45 kg bagi wanita.
  • Tidak rabun warna. Seseorang yang berkaca mata juga boleh dipertimbangkan.
  • Pendengaran yang baik.
  • Perwatakan yang baik serta mempunyai minat yang mendalam dalam latihan ketenteraan.
  • Lulus ujian fitness ketenteraan.
  • Lulus temuduga.

Seseorang pelajar yang menyertai program PALAPES sehingga tamat pengajian di UNIMAS akan memperolehi berbagai kemudahan dan peluang seperti berikut:

  • Penginapan di kolej kediaman Universiti.
  • Mendapat bilangan kredit (6) bagi tujuan pengijazahan
  • Setiap Pegawai Kadet, Pegawai Muda dan Pegawai Sukarela akan diberi Elaun Latihan seperti berikut:
    • Elaun Pakaian Seragam: RM400.00 permulaan semasa ditauliahkan.
    • Elaun Pakaian Istiadat: RM1,500.00 setiap lima tahun, selepas ditauliahkan.
    • Elaun Senggaraan Pakaian Istiadat: RM250.00 setiap tahun, selepas ditauliah.
  • Pakaian dan peralatan asas ketenteraan secara percuma.
  • Pengangkutan dan sajian secara percuma semasa menghadiri latihan.
  • Peluang memperolehi pengetahuan dan pengalaman tambahan sebagai seorang tentera seperti yang tersebut di atas serta melaksanakan latihan menembak senjata M16 dan senjata bantuan, latihan abseliling, merentas halangan dan latihan yang dilaksanakan oleh anggota tetap.
  • Dapat mengikuti aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung, berkayak dan aktiviti yang mencabar dan menarik
  • Peluang lawatan ke luar negara bagi Pegawai-pegawai Kadet yang cemerlang dalam akademik dan pelajaran ketenteraan.
  • ”SENTIASA MEMIMPIN”

Aktiviti / Latihan PALAPES